PENCARIAN

Monday, September 19, 2011

White House : Lambang Kemegahan Amerika Syarikat



DIHUNI buat kali pertama pada tahun 1800, nama rasmi White House diberikan oleh Presiden Theodore Roosevelt pada 1901.



BANGUNAN berwarna putih yang terletak di tengah-tengah Washington, Amerika Syarikat (AS) itu bukan sekadar bangunan biasa. Selama lebih 200 tahun, White House atau Rumah Putih telah berdiri sebagai simbol Presiden, pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan kemegahan rakyatnya.

Sejarah pembinaannya bermula apabila Presiden AS yang pertama, George Washington menandatangani Akta Kongres pada bulan Disember 1790 yang mengisytiharkan pusat pentadbiran baru kerajaan persekutuan yang ‘tidak melebihi sepuluh batu persegi dari sungai Patomac’.

Presiden Washington, bersama-sama dengan perancang bandar Pierre L’Enfant telah memilih lokasi itu yang kini dikenali sebagai 1600 Pennsylvania Avenue, sebagai tapak kediaman rasmi Presiden.

Satu pertandingan telah diadakan bagi mereka bentuk kediaman Presiden. Daripada sembilan cadangan yang dikemukakan, rekaan arkitek kelahiran Ireland, James Hoban telah dipilih secara rasminya.
Batu pasir


SALAH sebuah bilik utama yang dihias dengan gaya sarat dan mewah.


Pada Oktober 1792, pembinaan White House dimulakan. Secara keseluruhan, struktur bangunan itu menggunakan batu pasir Aquia yang dicat putih mengikut gaya seni bina neoklasik.

Walaupun, Presiden Washington menyelia pembinaannya daripada mula sehingga akhir, namun beliau tidak pernah berkesempatan menetap di dalamnya.Sebaliknya, Presiden AS kedua, John Adams menjadi individu pertama menghuninya secara rasmi pada tahun 1800 sebaik sahaja ia siap dibina.

Sejak era pentadbiran Adams sehinggalah Presiden AS ke-44, Barack Hussien Obama Jr., White House telah menjadi lambang kemegahan negara kuasa besar itu. Selain menjadi kediaman eksklusif Presiden, ia juga dikunjungi jutaan pengunjung dan tetamu kenamaan dari seluruh dunia.Setiap Presiden yang dilantik bebas mengubah suai kediaman itu dan mengubah cita rasa luaran dan dalamannya.

Semasa pemerintahan Presiden Harry S. Truman, beliau telah mengarahkan kerja-kerja pengubahsuian ruang dalaman White House secara besar-besaran.

Lebih eksklusif

RIAS dalaman Rumah Putih diberi sentuhan peribadi oleh beberapa Presiden dan isteri Presiden sepanjang kewujudannya.


Sementara itu, Jaqueline, isteri Presiden John F. Kennedy turut mengarahkan kerja-kerja pengindahannya.

Pelbagai artifak, koleksi antik dan lukisan yang bernilai tinggi telah mengubah imej White House menjadi lebih eksklusif berbanding sebelumnya.Pada tahun 1990-an pula, Presiden Clinton telah memperbaharui beberapa buah bilik di White House dengan bantuan penghias Arkansas, Kaki Hockersmith termasuk di Oval Office, East Room, Blue Room, State Dining Room dan Lincoln Bedroom.

Secara umumnya, White House yang dibina setinggi enam tingkat secara keseluruhan mempunyai beberapa bahagian utama. Antaranya ialah Executive Residence, West Wing, Cabinet Room, Roosevelt Room, East Wing dan The Eisenhower Executive Office Building yang juga menempatkan pejabat Presiden dan Naib Presiden.

Namun bahagian paling popular ialah West Wing yang menempatkan Oval Office iaitu pejabat Presiden serta beberapa staf senior, selain mempunyai bilik untuk 50 orang pekerja.Di sini juga terdapat Cabinet Room iaitu tempat Presiden mengadakan mesyuarat penting melibatkan angota Kabinet, selain White House Situation Room, James S. Brady Press Briefing Room dan Roosevelt Room.

Sepanjang kewujudannya, White House tidak pernah sunyi daripada pelbagai malapetaka.
Antaranya, serangan tentera British dalam peperangan tahun 1941 yang telah memusnahkan sebahagian struktur luaran dan dalamannya.Pada 1929 pula, bahagian West Wing pernah musnah akibat kebakaran, tetapi ia dibina semula sewaktu pentadbiran Herbert Hoover.





sumber :rencana  kosmo.my

No comments:

Post a Comment